RUMAH tangga dan persekitaran yang bersih bagaikan taman bunga yang segar dan menjanjikan ketenangan kepada penghuninya.
Pun begitu tanpa kerajinan segala yang diingini tidak akan berlaku. Tambahan pula bagi mereka yang bekerja dan tidak punya waktu untuk membersih dan menghias rumah agar sentiasa sedap dipandang mata.
Saiz rumah juga bukan ukuran tetapi kebersihan akan membezakan segalanya. Ramai yang impikan ketenangan di dalam rumah setelah penat berada di luar tetapi tidak semua kita yang berpeluang untuk mengecapinya.
Tugas menguruskan rumah tangga adalah amanah yang dianugerahkan kepada suri rumah atau pembantu ramah. Tetapi adakah semua isteri sanggup berbuat demikian?
Jawapannya ada pada kisah yang ingin diceritakan Zaidi (bukan nama sebenar) yang kini makan hati dengan sikap isteri yang tidak pandai mengurus rumah tangga.
Kata Zaidi, isteri orang lain juga bekerja dan penat tetapi mereka ada masa untuk mengurus rumah dan menjaganya supaya bersih sentiasa.
Sayang sekali isterinya seorang yang pemalas dan ini menjadi masalah besar kepada Zaidi sehingga dia melabelkan isterinya Aida (bukan nama sebenar) sebagai seorang yang pemalas.
"Saya telah mendirikan rumah tangga dengan Aida sejak 10 tahun lalu. Kami mempunyai tiga orang anak berusia 7, 8 dan 9 tahun.
"Rumah kami sederhana sahaja luasnya. Kami tidak mempunyai pembantu rumah kerana anak-anak dihantar ke rumah ibu mentua saya selepas mereka balik sekolah.
"Isteri pula bekerja dan balik ketika hari menjelang senja. Saya mengharapkan isteri mempunyai masa untuk mengemas rumah atau memasak setiap kali balik kerja.
"Bukan masakan yang hebat-hebat yang saya perlukan, cukup sekadar mengalas perut kami anak beranak. Sayangnya apa yang saya harapkan tidak berlaku.
"Setiap hari keadaan rumah tidak berkemas, pakaian yang dibasuh bersepah-sepah tidak berlipat. Pinggan mangkuk penuh sinki. Pendek kata kesemuanya menunggu hujung minggu untuk dibersihkan.
"Bayangkan dalam tempoh itu bagaimana keadaan rumah dan baunya yang busuk setiap kali saya balik kerja. Hendak melangkah rasanya berat kaki. Hendak minum air juga tidak tertelan.
"Hendak mengharapkan anak-anak mereka masih kecil. Isteri pula asyik mengadu penat dan mahu berehat. Makanan setiap malam dibeli dari restoran berhampiran.
"Saya mampu mengambil pembantu rumah tetapi dihalang oleh isteri dengan alasan tidak perlu sebab dia boleh lakukan.
"Sayangnya dia hanya berkata tetapi tidak disertakan dengan tindakan. Sudahnya keadaan rumah tetap begitu juga. Apabila ditegur, dia melenting dan merajuk.
"Saya sudah puas menasihatinya tetapi dia tetap macam itu, tidak ada perubahan. Sikap malasnya semakin menjadi-jadi. Rumah kami sudah seperti sebuah setor barangan terpakai.
"Masa yang berkualiti di rumah tidak dimanfaatkan untuk membereskan kerja-kerja rumah yang sepatutnya tetapi lebih banyak meluangkan masa di rumah ibunya dan anak-anak juga dibawa ke sana.
"Saya tidak menghalang mereka ke sana tetapi saya berharap dia akan tolong kemas rumah dan sempurnakan tanggungjawab sebagai isteri dan ibu terlebih dahulu.
"Saya amat malu dengan sikap malas isteri saya itu sehinggakan kami menjadi bahan ejekan jiran-jiran dan saudara mara yang datang. Keadaan itu menjadikan saya malu untuk menjemput saudara mara atau kawan-kawan ke rumah.
"Saya seorang yang pembersih dan suka rumah yang cantik dan bersih. Saya telah dididik menjaga kebersihan rumah sejak kecil. Ibu seorang yang rajin mengemas rumah.
"Rumah kami sentiasa bersih. Ibu seorang yang sangat mementingkan kebersihan dan saya bangga mempunyai ibu yang rajin dan pembersih.
"Namun semua itu tinggal kenangan kerana saya telah berkeluarga dan sayangnya suasana sebegitu tidak lagi dapat saya kecapi.
"Saya kesal kerana isteri tidak mengambil berat teguran saya malah sepatah saya kata sepuluh yang dia jawab sehinggakan saya ada kala hilang sabar.
"Paling saya malu kerana kami tinggal di kawasan perumahan mewah yang sepatutnya menjadi teladan kepada orang lain. Ini tidak, dibandingkan dengan rumah orang lain, rumah saya paling buruk dan tidak terurus.
"Bukan saya tidak berusaha ke arah itu tetapi jika saya seorang yang beria-ia, isteri buat tidak kisah, buat apa?
"Sekarang keadaan semakin runcing. Isteri asyik berjalan makan angin, sekejap dalam negeri sekejap luar negara. Dia lebih suka melayan kawan-kawan kerjanya daripada saya dan anak-anak.
"Tidak salah pergi berjalan tetapi mesti ada tanggungjawab terhadap suami dan anak-anak. Uruskan rumah tangga dulu, susun atur perabot yang lintang pukang dalam rumah agar saya yang ada dalam rumah boleh bernafas!
"Sesekali fikir saya merasa pelik kenapa isteri saya berperangai macam itu. Rupanya dalam dunia ini ada juga perempuan yang pemalas dan tidak suka mengemas.
"Sekarang saya lebih banyak pulang ke rumah ibu daripada di rumah. Saya penat dan mahu ketenangan. Di rumah ibu, saya merasa tenang dan aman. Pernah juga ibu menegur isteri saya tetapi dia langsung tidak peduli.
"Jangan kata mengemas, memasak juga jarang dia buat. Yang dia tahu makan, tidur dan berjalan.
"Kasihan anak-anak kami yang terpaksa makan makanan di luar atau di rumah ibu. Entah di mana silapnya sehinggakan Aida jadi pemalas begitu sekali.
"Ramai yang hairan bagaimana saya masih boleh bersabar dengan perangai isteri macam itu. Jika diturutkan naluri seorang lelaki, saya layak untuk mencari pengganti dan telah lama berbuat demikian.
"Tetapi saya sayangkan anak-anak yang tidak berdosa, malang bagi mereka kerana mempunyai ibu yang malas.
"Anak sulung saya seorang perempuan dan masih di bangku sekolah rendah sering bertanya kepada ibunya, kenapa rumah kita tidak secantik rumah jiran.
"Anda tahu apa jawapan ibunya, Mama penat!.. Sepatutnya jawapan yang paling tepat adalah mama malas!.
"Saya mahu dia faham falsafah kehidupan dalam suasana persekitaran yang bersih dan sihat. Semoga Allah akan membuka pintu hati Aida untuk berubah.
"Saya juga mengharapkan saya boleh bersabar dengan kerenah Aida. Jika tidak saya pasrah kepada ketentuan Allah SWT," keluh Zaidi menamatkan ceritanya.
Saya mengucapkan syabas kepada Zaidi kerana berani meluahkan perasaannya ke ruangan ini. Saya percaya ramai lagi suami yang menghadapi masalah seperti Zaidi tetapi enggan berkongsi masalah mereka.
Saya berharap Zaidi akan terus bersabar dan membimbing isterinya untuk kembali kepada tanggungjawabnya. Anggaplah ini juga sebagai ujian dalam rumah tangga.
Masih belum terlambat untuk anda membetulkan keadaan. Berterus terang dan membimbing adalah cara terbaik menangani masalah ini.
Anda harus menerima diri Aida seadanya, ertinya segala kelemahan dan kekurangan dirinya hendaklah diterima dengan reda. Itu sudah ketentuan jodoh anda.
Pada masa yang sama, sebagai suami anda perlu bertindak lebih tegas. Cadangan saya ambil cuti panjang dan bergotong royong mengemas dan membersihkan rumah bersama anak-anak.
Menamatkan catatan, pesanan saya seorang suami akan merasa tenang andai isterinya menjadi seorang yang penurut dan boleh menyejukkan hatinya di kala dia gundah. Realitinya, kehadiran wanita di dalam hidup seorang lelaki, ibarat matahari yang tidak pernah terbenam
Tiada ulasan:
Catat Ulasan