Pelakon Kamal Adli berpuas hati mendapat kembali berat badan idealnya
setelah 7 bulan disindir oleh orang sekeliling disebabkan perubahan
mendadak fizikalnya itu.
Kamal atau nama sebenarnya Ahmad Kamal Ahmad Adli, 26, berkata dia
berjaya mencapai berat badan ideal iaitu 75 kilogram berbanding 81
kilogram sebelum ini, selepas mengamalkan diet intensif termasuk senaman
dan mengawal pemakanan bagi sepanjang tempoh itu.
“Saya sudah tidak larat dengar sindiran dan reaksi orang sekeliling
dengan perubahan fizikal saya. Sepanjang tempoh tujuh bulan, saya aktif
bersukan seperti bermain bola sepak dan futsal sebanyak tiga hingga lima
kali seminggu.
“Yang paling saya tekankan adalah aspek pemakanan. Saya langsung tidak
jamah nasi dan perbanyakkan pengambilan sayuran dan buah. Kalau hendak
tahu, walaupun saya sudah mula ambil nasi semula tapi jumlahnya sangat
terkawal,” katanya.
Kamal berkata, walaupun berdepan pelbagai cabaran dan sindiran orang
sekelililing, dia sentiasa fokus kepada rutin dietnya. Sejak perubahan
itu, dia berasa berkeyakinan semula dan lebih cergas berbanding sebelum
ini.
“Saya rasa sihat dan penuh bertenaga seperti ketika saya menyertai
pertandingan Hero Remaja, empat tahun lalu. Alhamdulillah, selepas tujuh
bulan mengamalkan diet, ia mula menampakkan hasil.
“Saya gembira dan berpuas hati kerana usaha saya untuk mencapai matlamat ini berjaya,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan