|
GAYA hidup masyarakat di bandar raya metropolitan seperti Kuala Lumpur, sering terburu-buru lalu meletihkan fizikal, minda dan juga emosi. Malangnya, aktiviti yang mengisi rutin harian seseorang itu banyak yang berbentuk tidak sihat.
Sebagai contoh, seseorang itu bangun awal pagi dan berasak-asak ke pejabat. Kemudian ia makan tengah hari di restoran makanan segera, duduk di pejabat untuk beberapa jam lagi sebelum minum petang dengan minuman atau juadah yang manis atau berminyak.
Ada juga yang pulang lewat dari pejabat kerana tuntutan kerjaya, lalu hanya sempat menjamah makanan gerai yang boleh disangsikan khasiatnya. Sesampai sahaja di rumah, dia sekadar menonton televisyen dan seterusnya tidur. Keesokannya, rutin yang hampir serupa dijalani sekali lagi.
Keadaan itu sudah sebati dalam hidup rata-rata masyarakat kota. Tidak hairanlah jika orang muda dalam usia 20-an, 30-an dan 40-an sudahpun kelihatan jauh lebih tua dan tertekan.
“Apabila mereka terlalu penat dan tertekan dengan rutin yang tidak sihat, ia secara jelas terlihat pada wajah. Tekanan, kepenatan, ketiadaan rehat, gaya hidup tidak sihat, tiada senaman dan penyakit, semua itu akan membawa kepada pengumpulan toksin dalam badan yang akhirnya menyebabkan pelbagai kesan negatif di dalam atau di luar badan,” demikian kata Pengurus Besar Zazen Health Solution, Yasotha Krishna, ketika ditemui di pejabat beliau di Dataran Sunway, Kota Damansara.
“Sebagai contoh, seseorang yang sangat sihat dan mengikuti cara hidup yang sihat dengan rehat mencukupi dan makanan seimbang lagi sihat, akan kelihatan bukan sahaja cergas dan tegap malah jauh lebih muda, menawan serta bertenaga setiap masa,” kata Yasotha.
Pada sidang akhbar itu, Yasotha memperkenalkan duta Zazen Health Solution pertama dan sulung di Malaysia, Datuk Paduka Toh Puan Seri Diraja Noor Aini Abdullah.
Jauh lebih muda daripada usia sebenar, Noor Aini atau Nora akui beliau cuba sedaya upaya untuk melibatkan diri dalam aktiviti fizikal supaya kekal sihat di sebalik rutin sibuk yang dilalui beliau.
Namun, apabila jatuh sakit akibat lelah, Nora terpaksa menghentikan rutin fizikal sementara waktu.
“Pada waktu itulah saya diperkenalkan dengan sauna infra merah jauh (far infra red - FIR) Zazen oleh Yasotha.
“Sebelum ini, saya ada mengikuti sesi bersauna menggunakan Zazen FIR tetapi tidak memilikinya di rumah mahupun melakukan sauna sekerap sekarang,” katanya merujuk kepada rutin sauna secara aktif diikutinya sejak tiga bulan yang lalu.
Lelah berkurangan
Sejak memiliki Zazen FIR di rumah, Nora lebih rajin untuk menggunakannya dengan rutin, tiga kali seminggu, 30 minit setiap kali.
Selepas menggunakan Zazen FIR, beliau memberitahu bahawa dapat merasakan banyak perbezaan khususnya dari segi penyakit yang dialaminya.
“Lelah saya berkurangan. Saya juga ada mengalami masalah lain seperti otot tegang, sakit belakang dan tekanan. Kini, semua itu bertambah baik. Ia bukan mengubati penyakit tetapi ia memberikan masa kepada badan untuk berehat dan mencapai keseimbangan.
“Justeru badan kita mendapat peluang untuk membetulkan sistem,” katanya yang turut dibimbing Yasotha dalam sesi penerangan.
Yasotha menambah, amnya sistem autonomik badan manusia berada dalam keadaan simpatetik (dengan fungsi am menggerakkan sistem saraf tubuh dalam keadaan siap sedia).
Tetapi semasa berada dalam sauna Zazen FIR ia akan beralih ke keadaan rehat iaitu parasimpatetik. Keadaan tersebut membolehkan rangsangan aktiviti rehat dan hadam kerana tubuh sedang berhenti ‘bekerja’.
Seseorang yang mengalami perpeluhan ketika berehat dalam sauna selama 30 minit juga menyamai aktiviti berlari sejauh enam hingga sembilan batu jauh.
Apabila dilakukan dengan kerap, ia membantu kulit membuang toksin yang juga penting untuk menjana penampilan yang awet muda.
Manfaat lain Zazen FIR ialah ia membantu proses detoksifikasi, mengurangkan berat badan dan selulit, antipenuaan, meremajakan kulit, pemulihan badan secara dalaman dan memberi manfaat terhadap banyak masalah kesihatan yang lain.
Kaedah itu membantu membakar sekitar 600 hingga 900 kalori setiap 30 minit sesi sauna. Rod seramik infra merah yang terdapat dalam kabin sauna Zazen FIR diselaputi 24 bahan mineral dan dipancarkan dalam bentuk gelombang kepada pengguna.
Gelombang tersebut terbukti menembusi permukaan kulit lebih jauh berbanding sauna konvensional biasa yang menggunakan haba batu panas. Kemampuan itu membolehkan molekul air di bawah kulit digetarkan dengan lebih menyeluruh seterusnya terkumuh melalui perpeluhan.
Perpeluhan itulah yang menyingkirkan toksin dalam tubuh yang banyak memberi kesan buruk terhadap sistem tubuh dan tahap kesihatan seseorang.
“Haba yang dikeluarkan daripada rod seramik ini adalah sama seperti haba matahari. Pengguna disyorkan menggunakan suhu melebihi 44 darjah Celsius. Anda boleh merasai perubahan yang ketara hanya dua hingga tiga bulan selepas menggunakan Zazen FIR,” janji Yasotha.
Dipasang di rumah
Apabila ditanya tentang pengendalian kabin Zazen, Yasotha berkata ia hampir tiada pengendalian langsung.
“Anda hanya perlu menempatkannya di rumah dan ia boleh digunakan apabila perlu. Sebaik sahaja digunakan, anda boleh tutup suis. Semudah itu!” Katanya yang juga memberitahu kabin itu dijual pada harga RM10,500 bagi kabin dua orang dan RM14,100 bagi kabin tiga orang.
“Saya dapat merasakan perbezaan dalam hanya sekali mencuba sauna Zazen FIR. Selepas itu saya menggunakannya seperti biasa dan dapat merasai semua jenis manfaat yang dijanjikan oleh Yasotha,” ujar Nora yang juga seorang perunding etika dan protokol.
Bagi mereka yang tidak bercadang mahu membeli kabin terebut, Yasotha mencadangkan agar mereka menggunakan manfaat Zazen FIR di spa dan cawangan Zazen Health Solutions yang terpilih dengan mengambil pakej sauna itu.
“Bagi memastikan semua orang memperoleh manfaat Zazen FIR , kami juga mengembangkan perniagaan produk ini di spa-spa dan cawangan Zazen. Mereka yang berminat untuk menyertai perniagaan ini boleh hubungi kami dan mendapatkan perundingan,” katanya yang memberitahu bahawa kini sudah terdapat kira-kira 30 buah cawangan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan